Sunday, October 2, 2022

6.0 Kelemahan Projek

1. Kurang Kemahiran/Pengalaman 

Jika dilihat secara lebih dekat serta menggunakan pengamatan yang lebih teliti, projek yang kami laksanakan ini boleh dikatakan hasilnya terlihat seperti kurang dalam aspek kekemasan. Hal ini berlaku kerana kurangnya pengalaman serta kemahiran dalam proses tertentu sepanjang kami melaksanakan projek ini telah menyebabkan projek sistem suria kami ini kelihatan kurang menarik. Bukan itu sahaja, faktor lain seperti kesilapan teknikal yang telah dilakukan sedikit-sebanyak mengubah rupa bentuk planet kami daripada yang diharapkan. Sebagai contoh, semasa proses menampalkan kertas pada belon itu kami mendapati bahawa terdapat belon yang telah ditampal mula mengecut sehinggakan hal ini telah membuatkan belon itu kehilangan bentuk sfera atau bulat yang disebabkan oleh ikatan belon tersebut yang longgar dan perbezaan ketara dapat dilihat dengan jelas jika dilihat dengan betul serta lebih dekat.

 

2. Kos Peralatan Yang Banyak

Bagi menyiapkan projek sistem suria ini, kami telah menggunakan kos yang cukup banyak untuk memastikan segala kelengkapan serta keperluan peralatan bagi projek ini mencukupi agar projek sistem suria ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyiapkan projek ini adalah kami perlu menyediakan peralatan seperti kotak bersaiz besar, belon, lampu led, serta surat khabar. Namun peralatan yang paling penting agar projek kami ini terlihat seperti sebuah planet adalah peralatan warna air yang dimana kami perlu mewarnakan belon yang telah ditampal mengikut warna sebenar akan planet di alam semesta kita. Contohnya, peralatan warna yang kami gunapakai adalah warna air Buncho dan ia sememangnya sebuah jenis warna air yang mempunyai kualitinya tersendiri serta harganya juga jauh lebih mahal berbanding jenis warna air yang lain dan untuk menyiapkan projek ini kami terpaksa membeli warna Buncho sehingga 4 buah warna air jenama Buncho.

 

 3. Saiz yang terlalu besar

Projek sistem suria yang telah kami laksanakan ini, disimpan di dalam sebuah kotak bersaiz besar sehinggakan sedikit sebanyak menyukarkan kami untuk membawanya pergi dari satu tempat ke satu tempat yang lain serta untuk membawa projek sistem suria yang kami letak di dalam kotak kami perlu menggunakan tenaga 2 orang rakan kami untuk mengangkatnya bagi memastikan bahawa kotak tersebut berada dalam keadaan stabil. Misalnya, kotak yang kami gunakan merupakan bekas kotak mesin basuh yang dimana ruangan besar dalam kotak tersebut telah diisi dengan pelbagai jenis replika planet yang kami ciptakan tersendiri maka oleh yang demikian kami memerlukan 2 orang rakan kami untuk membawanya yang dimana masing-masing rakan kami itu terpaksa memegang hujung kedua-dua belah kotak tersebut bagi memastikan planet dalam kotak itu tidak terkeluar atau terjatuh.

 

4. Bahan projek yang mudah rosak

Melihat kepada perkara aspek keutuhan dan ketahanan projek pula, peralatan yang kami gunapakai ini sememangnya peralatan yang mudah rosak serta boleh menyebabkan projek itu terpaksa perlu diperbaiki semula jika sekiranya berlaku sedikit kesilapan yang menyebabkan projek sistem suria ini rosak. Hal ini dikatakan sedemikian, kerana peralatan yang kami gunakan ini mempunyai kelemahannya tersendiri iaitu tidak tahan dengan air serta tekanan yang berlebihan mampu membuatkan kotak projek sistem suria ini rosak. Sebagai contoh, bahan seperti kotak yang kami gunakan ini sememangnya bukan kalis air dan kotak akan menjadi lembik jika dibasahi dengan air yang  kuantitinya sangat banyak serta planet yang kami ciptakan itu pula diperbuat daripada belon yang disaluti kertas yang sememangnya mudah pecah jika sekiranya terkena hentakkan yang kuat pada belon tersebut.

0 comments:

Post a Comment